24 November 2017 - 05:24
Undang-Undang Anti Keganasan Arab Saudi Dilakar Untuk Redamkan Suara Pengkritik: HRW

Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) dengan keras mengecam undang-undang anti-keganasan baharu Arab Saudi yang menurut mereka mampu digunakan untuk menyekat suara pembangkang di seluruh negara monarki itu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Pertubuhan Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) dengan keras mengecam undang-undang anti-keganasan baharu Arab Saudi yang menurut mereka mampu digunakan untuk menyekat suara pembangkang di seluruh negara monarki itu.

Pertubuhan yang berpusat di New York itu di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada hari Khamis berkata bahawa undang-undang yang diperkenalkan pada awal bulan ini akan membolehkan pihak berkuasa di negara ultra-konservatif itu untuk meredamkan suara pengkritik di sana.

"Pihak berkuasa Arab Saudi sudahpun menggunakan metodologi khas untuk mendiamkan dan menghalang kritikan aman berasaskan pertuduhan palsu," baca kenyataan itu.

"Di sebalik berusaha untuk memperbaiki perundangan yang keras, pihak berkuasa Arab Saudi kini menggandakan (kekerasan) dengan usul lucu yang menganggap sebarang kritikan ke atas Putera Mahkota sebagai tindakan keganasan," tambah mereka.

Kenyataan itu turut mengkritik takrif perundangan baharu berhubung tindakan keganasan yang menurut HRW bersifat terlalu luas dan tidak tertakluk kepada tindakan ganas semata-mata.

Menurut Saudi Gazette dan media tempatan Arab Saudi yang lain, undang-undang itu merangkumi penalti berupa penjara 10 tahun ke atas sesiapa yang menghina raja dan putera mahkota negara bermonarki mutlak itu.

Tindakan meluluskan perundangan baharu itu berlaku hampir serentak dengan tindakan kerajaan negara itu yang menahan ratusan elit pemerintah Arab Saudi di dalam sebuah operasi yang menurut mereka dilancarkan untuk memerangi korupsi.

Sesetengah pihak melihat proses itu dilakukan dalam rangka untuk memperkukuhkan kuasa Mohammad Bin Salman sebagai putera mahkota dan pemimpin masa hadapan kerajaan Arab Saudi. -ABNA24

/315